Tuesday, December 6, 2011

Setahun Berlalu

Hijrah Ku

2 Disember lepas genap setahun kami berpindah semula ke Shah Alam. Didalam kerjaya saya ini adalah perpindahan yang ke 3 atau penghijrahan ke 4.
Hijrah yang pertama adalah semasa saya ditempatkan bertugas buat pertama kali dialam pekerjaan sebagai penjawat awam di Negeri Sabah . Negeri di bawah bayu dikenali juga sebagai Darul Saadah. Tarikh nya ialah pada awal january 1986. Ketika itu sedang berlaku pergolakan politik di negeri tersebut diantara PBS pimpinan Pairin Kitingan dan Berjaya pimpinan Haris Saleh. Saya sempat mengalami perintah berkurung di Kota Kinabalu pada waktu malam.

Masa itu saya masih muda sekitar 23 tahun. Buat pertama kali menaiki kapalterbang dan berada di negeri orang yang sangat asing merupakan suatu kebanggaan bagi saya tetapi kesedihan bagi keluarga. Disini bermulalah pengalaman saya hidup dirantauan, tanpa sanak sedara, dibumi masyarakat yang asing, sikap perkauman antara semenanjung dan Sabah Serawak sangat menebal. Pada masa itu suasana di negeri tersebut umpama tahun 70 an ditempat kita. Hari-hari saya lalui dengan tabah. Menabur bakti mendidik anak-anak tempatan tanpa wasangka dan ikhlas. Saya juga bergerak aktif cergas menghasilkan pameran dan mengikuti pertandingan lukisan di negeri tersebut malah seringkali menjadi juara perandingan lukisan sehingga dikenali oleh penggiat seni dan muzium seni Sabah. 6 tahun saya di negeri tersebut dan akhir nya di penghujung 1991 saya berpindah semula ke semenanjung dengan meninggalkan banyak kenangan manis di bumi Beaufort Sabah.

Awal 1992 saya bertugas di Taman Medan PJ. Ia adalah kawasan setinggan yang didominasi oleh Kaum Melayu dan India. Walaupun terletak di PJ tetapi kebanyakkan pelajar nya berlatarbelakang keluarga yang miskin. Selama 3 tahun saya disitu saya bertukar ke Shah Alam pada pertengahan 1995. Disini suasana adalah suasana bandar yang sangat berbeza dengan di Sabah. Kehidupan pelajar sangat keras, dikelilingi budaya kota yang sesak dan menjengkelkan. Lantaran masyarakat yang individualistik dan mengejar material sentiasa. Masa bagai tidak kecukupan bagi mencapai dan memenuhi keperluan kehidupan di kota. Saya pun sedikit sebanyak terheret sama dalam arus yang melemaskan. Dan jalan keluar nya saya memberanikan diri menyambung pengajian ke peringkat ijazah lanjutan. Akhir nya pada penghujung 1999 saya lulus dan bergraduasi Masters in Art dari De - Montfort Universiti Lester UK. Saya terus ditawarkan jawatan sebagai Pensyarah di UiTM dan saya dilepaskan dengan izin oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bermula episod penghijrahan saya ke 3. Saya ditugaskan ke Negeri Cek Siti Wan Kembang atau Kelantan Darul Naim pada awal April 2000 ketika saya berusia 38 tahun. Anak-anak masih kecil ada yang baru tadika dan yang belum tadika. Dengan berani selepas berbincang dengan keluarga dan ibu-bapa mereka merestui. Tinggal segala kesenangan dan kemudahan di kota kembali ke suasana kampung. Ketika itu PAS sudah memerintah negeri tersebut dan sehingga kini parti itu masih berjaya memerintah. Kelantan dilabelkan sebagai Serambi Mekah. Ramai alim ulamak lahir dari negeri ini. Sistem pengajian Islam pondok masih terdapat disini. Perniagaan orang Melayu berkembang pesat di negeri ini samaada di bandar besar atau pun bandar kecil. Inilah antara negeri yang ramai Melayu berniaga dan bersaing dengan bangsa cina. Semangat kenegerian nya sangat tebal. Ia baik untuk di teladani.

Disini saya mula membina kerjaya baru sebagai tenaga pengajar di Universiti. Saya perlu bersaing dan menunjukkan kemampuan sebagai saorang ahli akademik. Di universiti selain dari memberi kuliah ahli akademik perlu membuat penyelidikan, penulisan, menghadiri dan membentang kertas kerja di seminar dalam serta luar negara. Di kampus cawangan persaingan tidak lah terlalu sengit. Apa yang penting kita perlu bijak mengambil peluang dan membina kepercayaan dengan pihak atasan.

Alhamdulillah saya berjaya bersinar. Disini saya dikenali oleh ramai rakan sejawat, rakan industri batik dan usahawan dalam bidang kraf dipantai timur. Saya juga telah diberi peluang oleh Allah untuk mencari pengalaman di negara luar. Beberapa buah negara telah berjaya saya kunjungi termasuk ke Tanah suci bagi mengerjakan Umrah dan ziarah. Disinilah juga tempat yang sedikit sebanyak telah mengubah sempadan keimanan saya. Alhamdulillah.

Walaubagaimanapun dalam sinaran kegemilangan saya tidak menyedari bahawa ada tompok-tompok awan yang sentiasa berarak dan akan menghalang sinaran matahari jika kita alpa. Saya terlupa tidak semua apa yang kita capai dan perolehi disukai oleh orang lain. Rasa iri hati, dengki dan perasaan tidak puas hati rupa nya ada dikalangan kelompok kehidupan saya. Lantas saya mengenali erti kawan dan lawan. Sahabat yang baik dan rakan yang berhati hitam. Saya telah diduga, kesabaran dan keimanan saya telah diuji. Banyak pengajaran yang saya kutip sepanjang berada di bumi serambi mekah ini Kita rasa kebaikan yang telah kita lakukan akan dibalas dengan baik, tetapi saya silap tidak semesti kebaikan yang kita beri dibalas dengan kebaikan dan yang pasti setiap kebaikan dibalas kebaikan oleh Allah bukan dari manusia dan ini janji Allah.

Setahun telah berlalu. Saya telah berhijrah kembali ke tanah tumpah darah dimana saya dilahirkan. Setahun ini tidak banyak yang saya lakukan. Tiada pencapaian yang boleh dibanggakan. Saolah-olah segala nya umpama baru bermula kembali. Sama seperti permulaan penghijrahan saya yang lalu. Sepanjang tahun memberi peluang saya berehat. Bermuhasabah diri, membetulkan perjalanan kehidupan anak-anak. Mencari kekuatan baru bagi mengatur langkah kehidupan fasa seterusnya. Insyaallah saya perlu menjalinkan hubungan seintim mungkin dengan maha pencipta kerana segala nya telah direncanakan nya. saya hanya perlu bermohon dan bermunajat hanya kepada Nya. Dan saya perlu merancang..merancang dan melaksanakan nya dengan lebih bijaksana dan berwaspada.
Hidup ini bukan suatu perjalanan yang linear..ia nya sangat berliku dan sukar di predict barangkali itulah kemanisan nya......dan itu lah jawaban mengapa kita perlu memohon kepada yang maha Esa "tunjukkan lah jalan yang lurus" dalam bacaan Al fatehah. wallohualam.

2 comments:

kts said...

ditanah suci sepatutnya tiada perkara-perkara jahat dan mungkar. tetapi pencurian dan rompakan masih berlaku. apalagi diluar tanah haram. Allah tetap membenarkan org baik dapat balasan jahat. org jahat dapat nikmat dunia. inilah hikmah. kita punya ilmu sebenarnya sangat kurang dan dangkal. ilmu yg sebenar ada padaNya. mohonlah anugrah tersebut.

suria said...

Lagi kuat kita mencuba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, semakin besar pula dugaannya..kerana itulah ukuran sejauhmana kita ikhlas terhadap-Nya. Semakin usia menginjak ke tua, rasanya semakin kerdil diri ini dan terasa rugi kerana mensia-siakan usia hanya kerana mahu memenuhi tuntutan nafsu..

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification