Thursday, May 16, 2013

GURU OH GURU

 Assalamualaikum Cekgu,
Selamat Sejahtera cekgu,
Selamat pagi Cekgu,
Selamat tengahari cekgu,
Selamat petang cekgu...

Ucapan di atas menggambarkan betapa tinggi nya penghormatan kepada mereka yang bergelar cekgu...setiap masa dan ketika dimana sahaja akan sentiasa diberi ucapan agar cekgu sentiasa selamat...
Insan yang bergelar cekgu merupakan mereka yang terpilih untuk menunaikan amanah yang sangat besar dan berat. Mendidik insan supaya menjadi manusia yang sempurna, jasmani, rohani ,intelek, dan emosi.

Saya memasuki alam persekolahan pada tahun 1969 -darjah 1C Sek Keb Pasir Panjang. Guru kelas masa itu ialah Cekgu Nazri Mat Wali. Ia datang ke sekolah dengan menaiki basikal dan tinggal disebelah rumah tok penghulu yang hanya terletak berhadapan seberang parit dengan sekolah menengah. Beliau saorang guru yang baik tetapi tegas. Seingat saya pada masa itu hanya beliau sahaja yang mengajar semua matapelajaran. Membaca, menulis dan mengira, senaman dan melukis. Itu sahaja pelajaran nya pun.

 Meskipun saya tak pernah memasuki kelas tadika atau pra sekolah(tak ada pun masa itu) Pergi ke sekolah adalah waktu yang menyeronokkan. Bangun pagi awal dan kena mandi di perigi belakang rumah dalam suasana gelap hanya bercahayakan pelita minyak tanah. Saya berjalan kaki menuju sekolah melalui jalan tepi masjid dan hadapan rumah DID. Bekal hanya sepuluh sen sudah cukup untuk membeli makanan sewaktu rehat dikantin sekolah yang diusahakan oleh Pak Suki.

Saya masih ingat setiap kali sebelum balik diwaktu akhir kami akan berbaris ditepi bilik darjah. Cekgu akan memberikan kuiz atau sefer darab..siapa yang dapat menjawab dengan betul atau mengeja dengan betul akan dibenarkan keluar dahulu dan pulang ke rumah. Dan kami berlumba-lumba untuk menjawab dengan betul agar dapat keluar dan balik dahulu....Akhir nya ramai diantara kami dapat menghafal sefer dharab 2 x2 hingga sefer 12 x 12.  Akhir nya naik kelas darjah 2 saya berjaya ditempatkan ke darjah 2 A setelah berjaya menmperolehi prestasi no 1 setiap pepereksaan penggal.

Alam persekolahan peringkat rendah pada masa itu sangat menyeronokkan. Saya memasuki persatuan Anak Serigala ...sebelum menjadi pengakap. Banyak aktiviti dijalankan seperti perkemahan hujung minggu, berkawad, menjelajah hutan bakau di tepi laut yang tak jauh dari sekolah. Dalam kegiatan sukan saya tidak menyerlah seperti KTS yang sangat aktif dan tersohor  nama nya pada masa itu. Saya juga masih ingat bagaimana Ustaz Mukapit memilih saya sebagai wakil Qari untuk Musabaqah Al Quran peringkat sekolah-sekolah. Beliau mengajar saya mengaji dan ketika musabaqah diadakan beliau datang kerumah dan mengambil saya dengan menaiki motorsikal ke tempat pertandingan. Keputusan nya seperti yang telah diduga saya telah tewas. Pada masa itu Cekgu sangat dihormati dan juga ditakuti. Guru besar Cekgu Mokri sangat garang. Beliau akan menaiki basikal keliling kampung melalui sawah dan saya pernah terserempak dengan beliau ketika kami berkubang diparit tepi sawah bersama rakan-rakan. Beliau akan berhenti dan memarahi budak-budak yang berkubang di tepi parit yang menyebabkan keruntuhan tebing yang menjadi jalan laluan utama. Kami sanggup menyorok dibalik pohon pisang atau semak berdekatan sehingga beliau berlalu pergi.

Guru dahulu seolah-olah mempunyai karisma atau roh nya yang tersendiri.  Murid dahulu tidak berani membantah atau melawan cakap guru. Mereka mendidik dengan sabar dan tekun serta penuh keikhlasan. Kami pula akan cuba mengembirakan guru-guru yang mengajar kami dengan berusaha untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan. Kerana suka dengan guru Bahasa Malaysia di tingkatan 2 saya pernah memenangi pertandingan menulis cerpin dan hadiah nya ialah sebuah novel "Biru Ombak " karya Khadijah Hashim. Guru sejarah saya Cekgu Fadhli mengajar dengan menulis cerita sejarah dengan tarikh dan fakta dipapan hitam mulai dari hujung kiri atas hingga ke hujung kanan bawah  tanpa henti dengan menggunakan kapur tulis yang bertukar ganti tanpa buku teks. Saya melihat nya pada masa itu cekgu Fadhli sangat hebat seumpama telah menghapal buku sejarah didalam kepala nya. Sedangkan kami mahu mengingat melaka ditawan portugis pun mengambil masa yang lama. Namun hakikat nya pada masa itu untuk memperolehi pencapaian yang cemerlang sangat susah.

Alam persekolahan menegah diteruskan ke bandar Kelang. Sek Tengku Ampuan Rahimah dahulu agak berprestij juga yang mempunyai asrama dan harian. Disini saya sempat memasuki pertandingan syarahan  dengan galakkan guru Bahasa Melayu. Pengetua pada masa itu ialah Cekgu Sujak. Ia sangat garang. Saya pernah didenda mencabut misai semasa di tingkatan lima kerana kesalahan ejaan.

Tamat SPM saya ditawarkan ke tingkatan 6 disekolah yang sama. Sempat mengikuti kelas selam 3 bulan sebelum ditawarkan untuk memasuki ITM  pada masa itu. Sewaktu mengisi borang permohonan ITM saya telah berjumpa dengan Cekgu Mohd Radzi yang mengajar BM di tingkatan 3. Beliau lah yang membantu saya mengarang essei mengapa saya memohon kurus di ITM dalam Bahasa Inggeris.

Ketika menuntut di ITM pensyarah yang mengajar saya diperingkat awal ialah En Syukur Hashim. Beliau juga adalah Course tutor untuk Pre-Diploma ketika itu. Saya mula membina hubungan rapat dengan beliau namun memasuki semester ke dua beliau menyambung pelajaran keperingkat Master di Bermingham UK.
Tamat pengajian saya bertugas sebagai guru sambilan di Institut Akademik Bakti Sungai Limau Sungai Besar. Ia sebuah sekolah swasta untuk murid-murid yang ingin  mengambil peperiksaan SPM dan STPM . Sempatlah saya mengajar Bahasa Inggeris dan Seni lukis hampir 3 bulan.

Bertemu pensyarah lama En Syukur dan beliau menyarankan agar saya mengambil Diploma Pendidikan Seni. Pada tahun 1985 saya menamatakan pengajian dan diawal tahun 1986 saya ditugaskan ke Beaufort Sabah sebagai Guru Pendidikan Seni. Maka bermula lah kerjaya saya sebagai Pendidik @ Guru.

Didalam meniti tangga kejayaan banyak dipengaruhi oleh guru-guru yang mendidik saya. Peranan dan pengaruh mereka sangat besar. Saya pasti tidak mampu membalas jasa mereka dengan wang ringgit namun saya sentiasa mendoakan agar semua guru-guru yang mendidik saya diberkati oleh Allah SWT. Agar segala ilmu pengetahuan yang diajarkan kepada kita dapat kita gunakan kejalan yang di redhai Allah dan mereka akan kekal memperolehi kebaikan nya hingga ke alam akhirat.

Saya sebagai pendidik dan ramai dikalangan ahli kita juga menjadi pendidik ..marilah kita berazam untuk menjadi pendidik yang baik. Pendidik yang mempunyai Roh yang baik, ikhlas, sabar, amanah bertaqwa kepada Allah SWT agar anak didik kita juga menjadi insan yang kamil, berjaya didunia dan akhirat agar kita juga memperolehi menafaat nya juga di dunia dan diakhirat.

16 Mei 2013
SELAMAT HARI GURU.

Foto saya  semasa darjah 4A 1972- Carilah sendiri .











0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification