Wednesday, June 22, 2011

WARKAH BUAT AYAHANDA (SEMPENA HARI BAPA)

Tarikh : 21-06-11

Assalamualaikum Warohmatullah hi wabarokatuh.

Ke hadapan yang dikasihi Ayahanda dan Bonda, semoga sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat dan diberkati Allah SWT. Amin.

Terlebih dahulu anakanda ingin memohon ampun dan maaf kerana sudah lama tidak mengirim berita kepada ayahanda dan bonda. Untuk pengetahuan ayahanda dan bonda anakanda sekeluarga di sini juga berada di dalam kandungan sihat semua nya.

Tujuan warkah ini adalah hanya untuk memberi perkhabaran mengenai keadaan anakanda sekeluarga di sini. Anakanda masih seperti biasa dengan tugas rutin anakanda sebagai saorang guru di Universiti . Tugas ini masih anakanda tunaikan walaupun keadaan telah banyak berubah dan alhamdulillah anakanda telah kembali semula bertugas di negeri asal kita dan kembali semula tinggal di rumah asal anakanda yang telah sekian lama anakanda tinggalkan.

Ayahanda dan bonda yang dikasihi, banyak perkara telah berubah, umur anakanda juga semakin bertambah. Pohon-pohon yang ditanam di hadapan rumah anakanda juga sudah semakin tinggi dan tua. Untuk pengetahuan ayahanda dan bonda sudah jauh anakanda berjalan dan diberikan peluang oleh Allah SWT untuk mengembara di muka bumi ini. Anakanda masih ingat pesanan ayahanda supaya anakanda kalau ada kesempatan pergilah mengembara melihat negara orang lain bagi melihat kebesaran Allah. Nampak nya apa yang ayahanda katakan itu telah dapat anakanda tunaikan. Begitu juga ayahanda sering menasihati anakanda untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang paling tinggi. Dan akhir nya anakanda dapat menunaikan nya walaupun anakanda bukan lah murid yang pandai semasa anakanda bersekolah dahulu.

Ayahanda dan bonda yang dikasihi. Anak-anak anakanda sudah semakin besar sekarang. Yang tua semakin meningkat dewasa dan kesemua nya masih belajar. Membesar dan mendidik anak-anak yang merupakan cucu ayahanda dan bonda telah menjadi suatu cabaran yang sangat kuat kepada anakanda. Alam anak-anak zaman anakanda sekarang jauh berbeza semasa zaman anakanda dahulu. Cabaran yang paling kuat anakanda hadapi adalah pengaruh dari persekitaran, rakan-rakan pergaulan mereka dan dunia cyber yang menjadi budaya hidup mereka sekarang. Dahulu ayahanda memberikan bekal wang sebanyak 20 sen sehari ke sekolah tetapi sekarang paling kurang pun rm 2.00 sehari. Kalau dulu anakanda berjalan kaki ke sekolah tetapi sekarang cucu ayahanda dihantar dan dijemput balik dari sekolah. Malahan sudah mempunyai telefon bimbit sorang satu di mana top up nya mampu diisikan oleh anakanda berdua. Alhamdulillah mereka boleh dikatakan berada dalam keadaan keperluan yang mencukupi tidak seperti mana zaman anakanda membesar dahulu serba serbi nya miskin dan susah. Segala nya anakanda perlu usahakan sendiri seperti mengutip botol kosong untuk dijual semula dengan pak ali lemuju.

Ayahanda yang dikasihi. Dahulu ayahanda bersusah payah mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga. Apabila waktu cuti sekolah ayahanda akan mengajak anakanda untuk ke sawah atau ke kebun mengait kelapa. Tetapi sekarang waktu cuti sekolah tak ada apa yang nak anakanda suruh kepada anak-anak. Kebun pun tiada, sawah pun tak ada di bandar raya ini. Akhir nya cucu cucu ayahanda sambung tidur sehingga tengah hari. Perkara ini sudah menjadi suatu kebiasaan bagi mereka. Meskipun anakanda sangat tidak menyukai nya namun anakanda tiada pilihan lain untuk terpaksa merelakan perkara ini berterusan. Sepatut nya mereka tahu tanggungjawab mereka untuk bangun awal, mengemas bilik, membantu ibu memasak, mengemas rumah dan lain-lain seperti mana anakanda dulu menyapu laman, memotong rumput tanpa disuruh. Dan yang paling penting bagi anak-anak yang masih belajar membuat ulangkaji di rumah seawal pagi lagi. Manakala yang lebih tua menasihati adik-adik yang lebih muda sebagaimana abang dan kakak menasihati anakanda supaya mengulangkaji pelajaran.

Ayahanda dan bonda yang dikasihi. Anak anak sekarang berada di dalam keadaan yang boleh dikatakan senang. Kesenangan yang dinikmati adalah hasil usaha anakanda yang berusaha mengubah keadaan kehidupan supaya keluar dari tahap kesusahan hidup. Namun kesenangan ini pula sebenar nya menjadi cabaran bagi anakanda seperti mana cabaran hidup yang ayahanda alami dahulu iaitu kemiskinan. Anak-anak sudah menjadi semakin manja, kurang daya ketahanan diri, tidak kuat semangat sebalik nya lebih banyak terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan. Kurang berwawasan dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita. Kurang bergaul dan bercakap malahan lebih selesa memencilkan diri dengan dunia nya sendiri terutama dengan rakan rakan dialam siber seperti melayan fb dan sebagai nya.

Ayahanda keadaan dah banyak berubah. Kadang-kadang anakanda terfikir adakah anakanda sekarang mencari rezeki hanya untuk kesenangan anak-anak semata-mata sedangkan anak-anak tidak memikirkan bagaimana mereka akan mencari rezeki pula suatu hari nanti. Entah lah ayahanda kadang-kadang anakanda fikir tak ada beza nya kehidupan dahulu dan sekarang hanya material nya sahaja yang bertambah.

Ayahanda dan bonda, walau apa pun kehidupan ini perlu diteruskan. Cabaran nya perlu dihadapi walaupun pahit untuk di telan. Ayahanda dan bonda sekarang ini barulah anakanda sedar betapa sukar nya mendidik anak-anak dan memahami mengapa ayahanda dan bonda selalu berleter, memarahi anakanda, sering memberi nasihat dan teguran yang keras hanya untuk melihat anakanda berjaya dalam kehidupan. Ayahanda selalu mengingat kan supaya anakanda menjaga solat, membaca quran, mengaji dan mendalami hal-hal keagamaan. Memang ketika itu anakanda hanya mengambil acuh tak acuh sahaja nasihat ayahanda itu. Tetapi kini anakanda faham betapa penting nya solat dan membaca alquran itu oleh diri anakanda dan cucu-cucu ayahanda. Insyaallah anakanda sudah mula meminta cucu ayahanda membaca alquran selepas solat maghrib berjemaah. Semoga perkara ini dapat diteruskan sampai bila-bila.

Nampak nya dah panjang warkah anakanda ini, semoga dengan kehadiran warkah ini dapat sedikit sebanyak menghilangkan rasa rindu anakanda kepada ayahanda dan bonda. Akhir kalam disini anakanda kirimkan alfatihah kepada ayahanda dan bonda semoga ayahanda dan bonda sentiasa aman dan diberkati Allah. Doakan semoga anakanda berjaya mendidik anak-anak anakanda semua supaya menjadi manusia yang berjaya, beriman, kuat semangat, mempunyai jati diri dan taat kepada ibu bapa serta suruhan Allah, tidak melakukan maksiat, diberikan kesihatan dan menjadi orang yang cemerlang di dunia dan akhirat, Amin.

Sekian

Wassalam

Dari anakanda mu di perantauan.

2 comments:

Anonymous said...

dalam maknanya yg tersirat
kepada mereka tg memahami.

Anonymous said...

Salah Asuhan, terlebih asuhan, lain susulan....kenapa?Dugaan?Cabaran?atau hukuman?

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification