Saturday, June 18, 2011

Sekadar satu idea sempena Hari Bapa

Assalamualaikum Warohmatullah hi wabarokatuh. Solawat dan Salam kepada Nabi Muhammad SAW semoga kita semua diberkati. Dunia dan Akhirat.

Lama dah ana tidak menulis di dalam blog ini dan blog ini semakin terpinggir dan kegersangan tidak diisi dengan entry –entry baru. Kesebokan kita ahli –ahli persatuan keluarga sakijan mungkin menjadi hambatan utama penyumbang kepada keadaan ini. Di samping ketiadaan idea baru untuk disampaikan dan tiada aktiviti menarik untuk diuploadkan dan dikongsi bersama ahli-ahli lain. Mungkin juga keghairahan kita semakin pudar untuk menulis bait-bait perkataan yang agak panjang dan memerlukan susunan serta ejaan yang betul tidak seperti FB (Muka buku) yang lebih mudah, ringkas dan sempoi kata budak-budak sekarang. Menulis diblog perlu pemikiran yang agak serius, dikarang dalam bentuk berperenggan malah bahasa yang perlu digunakan agak berdisiplin.

Ah …..Entah lah itu hanya sebagai andaian sahaja. Hakikat nya di dalam penulisan blog kita perlu menghadap komputer dan memerah otak sedikit untuk berfikir sebelum idea penulisan kita disalurkan dan direalisasikan melalui tulisan dan peringkat akhir dipublish untuk tatapan pembaca. Hakikat nya ramai diantara kita tidak rajin menulis dan apatah lagi untuk membaca.

Hari ini ana menghadiri suatu mesyuarat di sekolah nak-anak ana belajar. Entah mengapa nasib anak baik pada tahun ini maka seawal januari lalu ana telah dilantik menjadi salah saorang AJK nya. Itupun setelah nama ana dicalonkan dan cepat-cepat orang menyokong agar diri sendiri tak dicalonkan. Dan biasa nya orang kita lebih suka jadi follower daripada menjadi "Think Tanker" dan lebih mudah serta seronok kalau dapat menjadi pengkritik sahaja. Biasa lah budaya kita orang Melayu. Apa pun ana terima dengan hati yang terbuka. Sehingga hari ini sudah beberapa kali ana menghadiri mesyuarat tersebut. Dan sepanjang tempuh kehadiran ana didalam mesyuarat banyak agenda yang dibincangkan. Ini termasuk mengadakan pelbagai program yang dicadangkan oleh pihak sekolah samaada program akademik dan bukan akademik. Pembangunan sahsiah pelajar juga pembangunan sekolah secara fizikal. Semua nya kearah kebaikan dan kecemerlangan.

Sesuatu yang ana lihat daripada berpersatuan ini adalah budaya meminta sumbangan setiap kali ingin mengadakan aktiviti. Tak salah sebenar nya meminta sumbangan ini kerana memang itupun tujuan persatuan iaitu membantu untuk menjalankan aktiviti dengan kos kewangan. Kalau tiada wang bagaimana aktiviti dapat dijalankan. Persatuan memperolehi sumber kewangan daripada yuran ahli-ahli. Disamping itu AJK persatuan pula diharap akan berusaha mencari jalan bagaimana untuk menambahkan sumber kewangan selain dari yuran ahli yang dibayar samaada sebulan sekali atau setahun sekali. Maka jalan paling biasa yang dipraktikkan ialah dengan meminta sumbangan dari pihak-pihak yang mempunyai kemampuan untuk menyumbangkan. Sebagai contoh nya wakil rakyat, eksco kerajaan, syarikat-syarikat koperat dan lain lain. Atau pun dengan mengadakan aktiviti seperti majlis makan, Walkaton, jualan pesta ria dan pelbagai lagi kaedah.

Keadaan ini ana lihat sebagai suatu kaedah yang sudah diamalkan sejak sekian lama. Dan kaedah ini juga lah sedikit sebanyak yang dipraktikkan didalam persatuan kita ini. Kelemahan nya ialah dana yang dikutip atau diperolehi adalah bersifat statik. Maksud nya setelah sekian jumlah dikumpul dan setelah itu dibelanjakan untuk sesuatu aktiviti dana akan kembali susut atau berkurangan. Dan kita terpaksa mengumpul kan semula dari yuran ahli sehingga ia terkumpul semula dalam jangka masa yang agak lama. Dalam tempoh tersebut aktiviti terhenti kerana ketiadaan modal.

Ana fikir sudah tiba masa nya apa yang dipraktikkan ini diubah keadaan nya. Persatuan perlu berubah kaedah mendapatkan sumber kewangan secara statik kepada kaedah menjana kewangan yang lebih dinamik. Dalam erti kata lain dana yang dikumpul perlu dicairkan utuk menjana pendapatan. Ana berpendapat persatuan ini perlu dikembangkan lagi untuk dijadikan sebagai KOPERASI. Ahli-ahli perstuan bolehlah menamakan Koperasi kita ini dengan nama yang sesuai.

Ada banyak kebaikan jika kita mendaftarkan nya sebagai sebuah Koperasi. Selain daripada ia menjadi suatu ikatan yang berdaftar dengan sebuah organisasi yang lebih besar ia juga lebih dikenali dan mudah untuk memperolehi dana serta bantuan kewangan bagi tujuan menjana pendapatan. Selain itu kita boleh bekerjasama dengan koperasi koperasi lain yang berdaftar. Persatuan kita ini juga boleh ditadbir urus dengan lebih sempurna dan sistematik. Secara tak langsung kita dapat membantu ahli-ahli persatuan untuk bekerja secara sambilan atau sepenuh masa dan sekaligus bertanggungjawab dalam membantu menjayakan koperasi kita dimana pada akhir tahun kita boleh melihat prestasi koperasi kita dan jika ada keuntungan boleh diberi kepada ahli ahli kita.

Apabila ana teliti ahli-ahli persatuan kita masakini sebenar nya berkoperasi bukan lah suatu yang asing. Timbalan Pengerusi kita Tuan Hj Miskiran sudah berkecimpung didalam pengurusan Koperasi Felda sejak sekian lama. Beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas didalam menguruskan sebuah Koperasi. Tuan Hj (bakal insyaallah) Mohd Nasir juga berpengalaman hebat didalam membimbing koperasi koperasi pertanian, Puan Liza isteri Abang Azlan bertugas di Maktab Kerjasama Koperasi juga mempunyai pengalaman dan hubungan dengan pelbagai koperasi di negara kita. Manakala En Halimi adalah seorang yang bekerja sendiri sebagai usahawan yang mempunyai pelbagai idea baik untuk disumbangkan bagi merancang pelbagai projek yang boleh dilaksanakan. Ahli-ahli yang lain didalam persatuan kita juga sudah pasti mempunyai pelbagai idea dan pendapat yang boleh sama sama di sumbangkan.

Mereka ini merupakan aset yang paling berharga didalam persatuan kita. Jika semua nya dapat digembelingkan dan berjalan dengan baik Insyaallah persatuan kita akan bergerak dengan lebih baik dan menguntungkan. Tiada guna nya kalau kita mempunyai pisau jika kita tidak boleh memotong. Tiada guna nya jika kita mempunyai pancing jika kita tidak tahu mengail. Yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek. Untuk kita mudah dilihat kita perlu menjadi lebih besar. Untuk menjadi lebih besar kita perlu bersatu dan bergabung bersama. Bukan membesarkan diri dan kepala sahaja.

Wallohualam sama-sama kita fikirkan.

SELAMAT HARI BAPA.

Jumpa lagi



3 comments:

Anonymous said...

salam...setuju dgn peandangan paman..saya sokong..hehe..jd jgn xjd..

DANURI SAKIJAN said...

Insyaallah. Paman sedang mengumpul maklumat dan buat research mengenai penubuhan nya. Tunggu pandangan dan komen dari ahli-ahli lain.

ayun said...

salam...
paman,kalo nak meeting ngan abah,wat video conference je...tp weekend je la.hehe

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cna certification